Lease this WebApp and get rid of the ads.
Anonymous
RM300 untuk miliki dekoder siaran digital RTM
Sat Mar 7, 2009 5:05pm
120.140.72.205

07/03/2009 5:43pm


KUALA LUMPUR 7 Mac — Penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mungkin perlu bayar RM300 bagi alat penerima liputan atau dekoder selepas projek pendigitalan stesen televisyen itu siap sepenuhnya pada 2012.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian itu memberi tempoh selama tiga tahun iaitu sehingga 2015 bagi mereka untuk memiliki dekoder tersebut.

Beliau berkata, tahun 2012 adalah sasaran RTM melaksanakan siaran berdigital sepenuhnya kerana jika tidak dimulakan dari sekarang, negara akan ketinggalan.

“Masyarakat perlu fahami kerana kalau kita tidak mulakan dari sekarang, tak kejutkan (mereka) sekarang, sampai bila pun susah (nak fahamkan kelebihan pendigitalan),” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Keluarga Kementerian Penerangan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini hari ini. Hari Keluarga itu dirasmikan timbalannya Datuk Tan Lian Hoe.

Ahmad Shabery berkata tahun 2015 adalah tahun yang penting kerana seluruh negara Asean akan menghentikan penyiaran melalui sistem analog.

Beliau berkata persiapan ke arah pendigitalan bukan hanya melibatkan Malaysia, Laos dan Kemboja malah Myanmar pun telah mula berbuat demikian.

Selepas 2012 syarikat pembuat televisyen dijangka mengeluarkan televisyen yang telah siap dipasang dengan dekoder, katanya.

Ketika ditanya sama ada kementerian bercadang mengurangkan harga dekoder dalam usaha memastikan semua rakyat mampu memilikinya, Ahmad Shabery berpendapat soal memiliki dekoder pada harga tersebut tidak akan menjadi satu bebanan.

“Kalau seseorang itu minat muzik contohnya, RM300 itu tidak akan menjadi masalah untuk dia miliki dekoder, saya rasa itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Ahmad Shabery juga berkata RTM akan memperkenalkan saluran baru yang dikenali sebagai saluran, Muzik Aktif di saluran Astro 180 mulai Khamis ini.

Beliau menjelaskan penyiaran saluran itu di Astro adalah sebagai satu percubaan dan kementerian juga bercadang untuk memperkenalkan satu lagi saluran baru hujung tahun ini.

Yang turut hadir pada sambutan Hari Keluarga itu ialah Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong.

— BERNAMA

  • Click here to receive daily updates